Monday 12 November 2012

Contoh Karangan UPSR (Syarahan)



Tulis sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong".

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Guru Besar, guru-guru, dan para hadirin. Ada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong”.

Hadirin sekalian,

Menurut Kamus Dewan 2009, konsep gotong-royong membawa maksud mengerjakan atau mengusahakan sesuatu secara bersama-sama. Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti kerja yang dilaksanakan secara bersama-sama bolehlah dianggap sebagai bergotong-royong.

Amalan bergotong-royong memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah dan menjimatkan kos serta meriah. Sebagai contoh, majlis perkahwinan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan jika semua ahli masyarakat bekerjasama melaksanakannya selain menjimatkan kos untuk mengupah orang datang memasak atau membina pelamin buat pasangan pengantin. Ringkasnya, sikap mementingkan diri dapat dihindarkan menerusi amalan yang murni ini.

Di kampung-kampung, amalan ini masih lagi boleh dilihat dan berlaku sehingga hari ini. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat setempat kerana berlakunya interaksi ketika amaln bergotong-royong ini dilakukan.

Oleh itu, amalan ini merupakan satu tradisi mulia yang perlu dikekalkan. Kita sebagai rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu mengekalkan amalan murni ini supaya satu masyarakat yang bersatu-padu mampu dihasilkan dengan mudah. Perpaduan yang selama ini wujud banyak bergantung kepada kekerapan aktiviti bergotong-royong ini dilakukan.

Memandangkan masa tidak mengizinkan saya untuk terus berkata-kata, biarlah saya mengundurkan diri dahulu.
Sekian, terima kasih.


Wednesday 31 October 2012

Tatabahasa - Kata Seru

Tuesday 16 October 2012

Amalan gotong-royong

Amalan gotong-royong merupakan amalan masyarakat kita yang mengutamakan semangat bekerjasama di antara satu sama lain, bak kata pepatah `berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.
Masyarakat di luar bandar masih teguh mengamalkan gotong-royong kerana masyarakat ini amat mementingkan perpaduan dan nilai tradisi serta suka hidup tolong-menolong dan melakukan kerja secara sukarela. Struktur anggota masyarakat ini yang terdiri daripada saudara-mara sendiri memudahkan lagi amalan ini dilaksanakan. Berdasarkan hal inilah masyarakat tersebut sama-sama menggembleng tenaga dan berkorban masa untuk menjayakan sebarang aktiviti yang dijalankan oleh ahlinya.
Selain itu, hubungan antara jiran masih kukuh dan kemesraan di kalangan penduduk luar bandar lebih terjalin erat. Keadaan sebegini mendorong mereka untuk berkumpul dan berbincang dalam menjayakan sesuatu aktiviti gotong-royong. Dengan adanya keharmonian dan kemesraan di kalangan setiap lapisan masyarakat membolehkan mereka dengan tidak segan-silu meminta bantuan dan pertolongan. Hal ini kerana mereka berpegang kepada hakikat bahawa segala-galanya bertolak daripada sifat manusia sebagai makhluk yang lemah. Oleh itu, kita saling bergantung antara satu sama lain.
Corak petempatan masyarakat di luar bandar juga menyebabkan amalan gotong-royong masih teguh diamalkan. Corak petempatan kampung tradisional yang berselerak di meratarata tempat dan mempunyai kawasan yang luas membolehkan aktiviti gotong-royong dijalankan dengan mudah. Ini berbeza dengan corak petempatan dan masalah kekurangan tanah di bandar yang tidak menggalakkan aktiviti gotong-royong dijalankan.
Masyarakat di bandar lebih berorientasikan pekerjaan berbanding masyarakat di luar bandar. Mereka bekerja dari pagi hingga ke lewat petang dan sesetengahnya pula hingga ke malam. Corak pekerjaan yang sedemikian menyukarkan mereka untuk melibatkan diri dengan aktiviti gotong-royong. Pada hujung minggu pula kebanyakannya menumpukan masa kepada urusan keluarga. Memang tidak dapat dinafikan aktiviti gotong-royong ada dijalankan di bandar, tetapi sambutannya kurang menggalakkan. Mereka lebih gemar mengupah pihak tertentu untuk melakukan kerja yang biasanya dibuat secara bergotongroyong oleh masyarakat luar bandar.
Kesimpulannya, amalan gotong-royong di kalangan anggota masyarakat di luar bandar perlu dicontohi oleh penduduk bandar kerana amalan tersebut banyak membawa manfaat bersama. Kesedaran tentang hal ini perlu ditanam di jiwa generasi baru agar tidak luput ditelan zaman.